Mini Kaswa 2019

“Membentuk Masa Hadapan”
Booth KPKI

Ahad, 28.4.2019, program Mini Karnival Siswa FSK telah dijalankan di Kolej Tun Syed Nasir, UKM yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan dengan tema ‘membentuk masa hadapan’.Kelab Kesihatan Persekitaran & Keselamatan Industri turut menggambil tempat dalam acara jualan dan acara-acara yang telah dipertandingkan.

Saya merupakan salah seorang PIC dalam menjaga jualan bagi kelab KPKI. Tema kami adalah “Let’s Save Our Mother Earth” iaitu kami menerapkan pengunaan bekas minuman yang “environmental friendly” seperti cawan dan straw kertas apabila orang datang membeli di gerai kami. Kami juga membuka order untuk sesiapa yang ingin membeli straw besi bagi menyelamatkan alam sekitar tertamanya kehidupan penyu yang semakin pupus dek ditelan masa serta perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh segelintir manusia.

Selain jualan, terdapat banyak aktivti yang menarik seperti tournaments, beauty talk, Zumba, kempen derma darah dan sebagainya. Walaupun penat menjaga gerai tetapi saya tetap bersemangat sehingga tamat program ini dan merasa sangat gembira kerana Kelab KPKI telah menjuarai acara keseluruhan bagi program Mini Karnival Siswa pada kali ini. Sebagai penutup majlis Kaswa ini kami telah disajikan dengan persembahan daripada Cranial Band dan kami juga menikmati persembahan tersebut dengan menyanyi bersama-sama mereka.

Program ini perlu diadakan lebih banyak lagi bagi membuka mata pelajar-pelajar untuk memulakan sesuatu bisnes dan menjana pendapatan sendiri kelak sambil menghabiskan pengajian di Universiti bagi meringankan tanggungan beban kewangan kedua-dua ibubapa dan keluarga mereka.

ECO RACE: Misi Bumi Hijau

Misi Bumi Hijau
Pelajar, pensyarah & kakitangan KPKI bersama penduduk Kg. Sijangkang
Kumpulan 1 bersama pensyarah KPKI & pengerusi Kelab MIHA Student Chapter UKM
Kumpulan 1

Isnin, 25 Mac 2019. Kelab MIHA Student Chapter Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur telah menganjurkan program khidmat masyarakat yang dinamakan sebagai Program ECO-Race: Misi Bumi Hijau yang bertempat di Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Kuala Langat, Selangor dengan kerjasama Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA).

Semua kakitangan dan pelajar-pelajar Program KPKI serta penduduk-penduduk di kampung Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang telah dijemput untuk menghadiri serta memeriahkan program tersebut. Program ECO-Race ini bertujuan mendekatkan dan merapatkan hubungan antara pelajar-pelajar KPKI dengan komuniti penduduk kampung Sijangkang dan membuka mata semua betapa pentingnya bumi ini kepada kita dan persekitaran kita.

Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Saya merupakan salah seorang ahli kumpulan satu. Kumpulan satu ini terdiri daripada 2 peserta dari penduduk kampung Sijangkang tersebut, 3 orang pelajar tahun 1 KPKI dan 2 orang pelajar tahun 3 KPKI.

Pelbagai aktiviti eco-race dijalankan antaranya ialah mencari tempat-tempat pembiakkan Aedes, meneka jenis-jenis hazard, alatan yang sesuai bagi situasi yang diberikan dan sebagainya. Program ini juga telah merapatkan hubungan antara kami satu sama lain dengan bekerjasama dalam menjayakan aktiviti eco-race. Oleh itu, kumpulan satu telah memenangi tempat kedua dalam aktiviti eco-race ini. Saya berharap lebih banyak aktiviti-aktiviti seperti ini dijalankan pada masa hadapan.

Kerja Lapangan Sains Persekitaran

Pelajar tahun 1 KPKI bersama pensyarah

Pada 11 Mac 2019, subjek Sains Persekitaran di bawah Program Kesihatan Persekitaran & Keselamatan Industri Fakulti Sains Kesihatan, UKM telah mengadakan satu kerja lapangan yang bertempat di Alang Sendayu, Gombak.

Kerja lapangan ini adalah bertujuan untuk menentukan kandungan oksigen terlarut dalam sampel air yang diambil dari pelbagai stesen pensampelan dan untuk membandingkan dan kontras kandungan oksigen terlarut menggunakan 2 kaedah iaitu penentuan langsung dengan menggunakan meter DO dan penentuan analitik dengan menggunakan kaedah Azide-Wrinkler.

Daripada eksperimen ini, kami dapat simpulkan bahawa peningkatan suhu akan mengurangkan jumlah oksigen terlarut dalam sampel air. Ini disebabkan kelarutan oksigen berkurangan apabila suhu meningkat. Kami juga boleh menyimpulkan bahawa air yang lebih panas dapat menurunkan jumlah oksigen terlarut. Ia menunjukkan apabila suhu tinggi, bahan pencemar di dalam air menjadi lebih toksik yang boleh menjejaskan ekosistem akuatik.

Sebagai kesimpulannya daripada kerja lapangan ini, analitik peningkatan suhu dan peningkatan cahaya yang meningkatkan jumlah oksigen terlarut dalam sampel air. Melihat bahawa keputusannya konsisten melalui pelbagai eksperimen, jika eksperimen diulangi mendapati hasil yang serupa atau yang sama terjadi. Sumber air pensampelan kami sedikit tercemar akibat aktiviti manusia seperti mandi di hulu sementara stesen pensampelan kami di hilir. Oleh itu, aktiviti mandi-manda tidak sesuai untuk manusia di stesen pensampelan kami. Pihak berkuasa perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan sungai bebas daripada tercemar bagi kesihatan persekitaran.

Kerja lapangan ini adalah santai-santai sahaja seperti selepas selesai kami membuat pensampelan, pensyarah dan kakitangan KPKI yang mengendalikan membenarkan kami bermain air dan mengambil gambar untuk disimpan sebagai kenang-kenangan.

Lawatan Sambil Belajar Ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan

Ayam Pegar
Enggang Hitam
Seladang

Pada Isnin, 11 Mac 2019, subjek sains persekitaran di bawah program Kesihatan Persekitaran & Keselamatan Industri telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak.

Banyak perkara yang menarik minat kami setelah tiba di sana. Antaranya adalah kami menaiki hilux untuk pergi ke pejabat Jabatan Taman Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Seterusnya, kami mendengar taklimat ringkas yang diberikan oleh pegawai hidupan liar (PERHILITAN) di Pusat Simpanan Hidupan Liar Sungkai. Kami mendengar taklimat ringkas tentang sejarah, aktiviti, kemudahan dan jenis spesies hidupan liar yang terdapat di Pusat Simpanan Hidupan Liar Sungkai. Dan sebaik sahaja sesi taklimat selesai, kami melawat di sekitar pusat rizab. Objektif utama kami pergi ke sana adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan hidupan liar.

Beberapa spesies yang terdapat di Pusat Simpanan Hidupan Liar Sungkai ialah ayam pegar, enggang hitam, seladang, Burung Hantu Kuning dan banyak lagi. Selepas itu, kami bergerak ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai. Kami diberikan sedikit taklimat ringkas oleh Puan Mala, pegawai hidupan liar, Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan.

Beliau berkata, sesiapa yang tidak memakai kasut tertutup tidak dibenarkan masuk ke kandang harimau dan tidak ada seorang pun yang dibenarkan mengambil gambar harimau setelah memasuki pintu pagar. Disini saya dapat melihat harimau betul-betul depan mata saya sendiri. Hampir 15 daripada Harimau Malaya yang terdiri daripada 5 jantan dan 10 betina. Harimau yang paling bahaya di Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dikenali sebagai Scarface. Ia ditangkap dari FELCRA Berdang, Jeli, Kelantan. Sekarang Scarface berumur 21 tahun dan juga bapa kepada Sungkai. Walaupun Tanjung adalah ibu kepada Sungkai yang berasal dari Taiping.

Salah satu daripada Harimau Malaya paling comel di Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan Sungkai dikenali sebagai Nanie. Tingkah lakunya yang hampir sama dengan manusia kerana selepas ibu Nanie melahirkannya, ibunya tidak menjaganya oleh itu kakitangan NWRC telah mengambil dan menjaga Nanie sehingga Nanie mencapai umur 7 tahun. Nanie sangat comel dan juga baik berbanding dengan yang lain.

Kemudian, Angah adalah salah satu harimau yang bertindak menyerupai tingkah laku beruang kerana Angah berasal dari zoo dan sangkar Angah adalah di antara sangkar beruang. Angah sentiasa menggunakan kukunya untuk menyakiti dirinya sendiri. Yeop Tapah adalah harimau dari Rizab Hutan Tapah, Perak. Ia dipindahkan ke NWRC kerana kaki Yeop terkena perangkap ketika Yeop di Rizab Hutan Tapah. Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan tidak dibuka kepada khalayak ramai kerana NWRC bukan zoo tetapi NWRC adalah tempat penyelamat untuk harimau yang terancam.

Akhir sekali, pengajaran yang saya perolehi daripada lawatan ini adalah kita perlu menjaga spesies yang terancam seperti gajah, harimau, rusa, enggang dan lain-lain. Adalah sangat penting bagi kita untuk menjaga spesies terancam kerana apabila mereka telah pupus, generasi keturunan kita mungkin tidak tahu spesies-spesies ini pernah wujud di dunia. Kemudian, saya dapat melihat ayam pegar dengan mata saya sendiri. Sebelum ini, saya tidak tahu bagaimana rupa ayam pegar cuma tahu peribahasanya sahaja. Saya sangat bernasib baik kerana saya dapat melihat spesies yang saya tidak pernah jumpa sebelum ini dan juga berdepan dengan harimau di zoo seperti di Pusat Penyelamat Hidupan Liar Negara. Oleh itu, kita perlulah bersama-sama memelihara spesies terancam dan juga “AYUH SELAMATKAN HARIMAU MALAYA KITA”.

Seminar Pengurusan Buangan Terjadual 2019

Pada 20 Februari 2019 yang lalu, saya telah menyertai Seminar Pengurusan Buangan Terjadual 2019 anjuran Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang bertempat di Pusat Kembangan Pendidikan Kolej Tun Syed Nasir Universiti Kebangsaan Malaysia.

Antara tajuk pembentangan seminar ialah perundangan alam sekitar: bahan terjadual yang dibentangkan oleh Puan Hasnita Mansor dari Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seterusnya, perkongsian pematuhan pengurusan buangan terjadual & isu-isu penguatkuasaan yang telah dibentangkan oleh Puan Nor Hayati Mohamad Idris yang juga dari Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pembentangan yang terakhir adalah daripada Puan Mariam Mohamed Jakeri dari Airwastewater Management Sdn.Bhd dengan tajuk pengurusan & pengendalian buangan terjadual (cradle to grave).

Banyak input yang saya perolehi daripada seminar ini antaranya ialah isu-isu pematuhan & kehendak perundangan alam sekitar, apa yang terjadi apabila tidak mengendalikan bahan buangan dengan betul, peraturan-peraturan kualiti alam sekeliling, kod-kod sisa terjadual, masa & berat sesuatu buangan, info berapa tong drum & berapa jumbo beg yang perlu diletakkan diatas 1 pallet.

Akhir sekali, saya berharap saya dapat mengaplikasikan input-input ini dalam kehidupan dan pekerjaan saya serta saya dapat menyertai lebih banyak bengkel-bengkel seperti ini lagi.

Bengkel Pemantapan Rohani & Sahsiah

Peserta bersama pensyarah & kakitangan KPKI
Peserta bersama fasilitator program

Pada 1-3 Mac yang lalu, program KPKI FSK, UKM telah menganjurkan bengkel pemantapan rohani & sahsiah insan kepada semua pelajar tahun 1 KPKI dengan tema “Kekuatan Rohani Penentu Kecemerlangan Insan”. Bengkel ini telah dijayakan di Pusat Latihan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia Beranang, Selangor.

Bengkel ini bertujuan memberi sedikit sebanyak suntikan semangat kepada pelajar-pelajar tahun 1 KPKI setelah menghadapi peperiksaan akhir pada semester 1 tahun lalu. Antara tajuk-tajuk yang telah disampaikan semasa bengel ini berlangsung ialah kewajipan menuntut ilmu yang telah disampaikan oleh Encik Zuhaimi Abd Rahim dari Pusat Pengurusan Wakaf Zakat & Endowmen UPM. Selain itu, ibadah asas kejayaan oleh Prof Madya Dr. Abdul Ghafar Don dari Program Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam.

Seterusnya, tajuk ….. menjadi insan cemerlang oleh Prof Ruzita Abd Talib dari Program Sains Pemakanan & Pusat Kesihatan Komuniti FSK serta tajuk meniti titian jaya “muhasabah diri” yang disampaikan oleh Encik Zulkipli Abdullah dan tajuk terakhir adalah pengurusan masa yang disampaikan oleh Dr Sham Othman pensyarah KPKI.

Banyak perkara yang saya dapat daripada bengkel ini antaranya ialah 7 langkah menjadi insan yang berilmu mukmin profesional, cabaran dalam kehidupan, aspek-aspek bagi keistimewaan pensyariatan ibadah, faktor-faktor kesan ibadah terhadap kejayaan mukmin, mengetahui kelebihan & kelemahan diri, bagaimana uruskan masa dngan betul, sikap dan ilmu-ilmu yang perlu ada dalam diri untuk diaplikasikan dalam kehidupan dan pekerjaan.

Dalam bengkel ini juga terdapat banyak aktiviti-aktiviti yang menarik yang telah dijalankan antaranya ialah “pong classic”, “face the cookie”, “disc balls” dan banyak lagi. Saya berharap lebih banyak program sebegini dianjurkan pada masa hadapan dan saya berharap perkara yang disampaikan dapat saya aplikasikan dalam diri saya kelak.

Majlis Makan Malam KPKI 2018/2019

Pelajar tahun 1 bersama pensyarah & kakitangan KPKI
Girls EVH tahun 1

Pada 21 November 2018, majlis makan malam KPKI sesi 2018/2019 telah berlangsung di Arina Skyview, Kuala Lumpur anjuran program Kesihatan Persekitaran & Keselamatan Industri, Fakulti Sains Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Saya telah menjadi ajk tugas-tugas khas bagi majlis makan malam KPKI 2018/2019. Majlis makan malam KPKI adalah bertemakan Secret Vintage Dream. Majlis ini bertujuan bagi meraikan pelajar-pelajar tahun akhir bagi program KPKI.

Beberapa hari sebelum majlis berlangsung, ahli ajk & exco TTK telah bertungkus lumus menyiapkan goodies dan hadiah-hadiah untuk diedarkan serta diberikan kepada para pemenang anugerah dan para tetamu. Selain itu, saya dan rakan-rakan juga gigih mencari baju untuk dipakai semasa majlis makan malam ini. Masing-masing nampak segak dan jelita dengan busana yang dikenakan pada hari majlis berlangsung.

Pelajar tahun satu telah membuat persembahan dengan membawa lagu ragaman daripada Faizal Tahir yang dinyanyikan oleh rakan kelas saya iaitu Nisha dan Ainor. Lagi 8 orang rakan kelas saya turut terlibat dalam persembahan ini untuk penari latar lagu ragaman ini.

Majlis ini telah mengeratkan lagi hubungan antara pelajar-pelajar KPKI serta pensyarah-pensyarah dan kakitangan KPKI yang lain. Sebelum majlis berakhir kami semua bergambar bersama-sama dengan pensyarah dan kakitangan KPKI.

Kerja Lapangan Mikrobiologi Persekitaran

Kumpulan 3
Hasil Kumpulan 3

Pada 25 Oktober tahun lalu, subjek mikrobiologi persekitaran di bawah program Kesihatan Persekitaran & Keselamatan Industri telah mengadakan kerja lapangan di Blue Lagoon, Port Dickson. Kerja lapangan ini melibatkan pelajar tahun 1 KPKI dalam menyiapkan tugasan eksperimen bagi subjek mikrobiologi.

Kerja lapangan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat kuantitatif mengenai ciri fizikal, kimia dan biologi air melalui pensampelan statistik dan juga untuk mengetahui bagaimana cara mengumpul sampel air secara aseptik untuk ujian kualiti.

Selepas kami selesai membuat pensampelan air, pensyarah membenarkan kami bermain-main dan bermandi-manda sebelum pulang ke kampus. Kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil kesempatan yang diberikan oleh pensyarah kami. Kami juga mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan sebagai kenangan kelak.

Sebelum air surut (waktu pagi)
Air telah surut apabila tiba tengahari

Syed Nasir Sports Event (SeNSE)

Perbarisan rumah kuning

Syed Nasir Sports Event (SeNSE) telah dijalankan di Kolej Tun Syed Nasir pada 13-14 Oktober tahun lalu. SeNSE telah mempertandingkan banyak acara antaranya ialah perbarisan antara rumah sukan, futsal, bola sepak, ping pong dan banyak lagi.

Saya merupakan salah seorang ahli dan juga peserta perbarisan dalam rumah sukan kuning semasa SeNSE berlangsung. Walaupun rumah kuning tidak menjuarai acara keseluruhan tetapi saya tetap gembira kerana dapat melibatkan diri dalam acara yang dipertandingkan iaitu perbarisan.

Daripada acara perbarisan ini juga, saya telah mengenali rakan-rakan baru dan saya juga dapat meningkatkan kemahiran kerja berpasukan saya kerana perbarisan memerlukan kerjasama antara ahli-ahlinya dan memerlukan fokus yang besar walaupun perbarisan ini peraturannya tidak seketat acara kawad kaki tetapi ianya juga perlu diberikan fokus. Kami dalam peserta perbarisan rumah kuning memakai prop paruh helang kerana tema SeNSE 2018 adalah helang.

Saya berharap saya dapat menyertai banyak lagi acara dalam SeNSE pada sesi 2019/2020. “We Rise by Lifting Others” & “Kill Them with Success and Bury Them with a Smile”.

Upgrading Taekwondo

Peserta Taekwondo bersama Master
Peserta Taekwondo KTSN bersama Master & Miss Flora

Pada 17 Disember tahun lalu, saya telah menyertai upgrading taekwondo anjuran Kelab ‘Taekwonmas Academy’ UKM di Kolej Tun Syed Nasir untuk mendapatkan yellow belt.

Alhamdulillah saya berjaya dapatkan yellow belt atas tunjuk ajar miss Flora dan senior-senior dalam kelab taekwondo Kolej Tun Syed Nasir selama 3 bulan lebih. Semasa menyertainya saya dapat mengenali rakan-rakan baru dari kolej-kolej di UKM Bangi dan dari sebuah kolej swasta.

Apabila saya menyertai taekwondo saya dapat lebih banyak stamina kerana semasa latihan taekwondo banyak aktiviti-aktiviti yang menguji fizikal dan mental saya dilakukan. Saya juga dapat belajar teknik-teknik tendangan dan tahanan yang betul. Seni mempertahankan diri bukanlah untuk mencederakan pihak lawan.

Saya harap saya dapat menyertai upgrading seperti ini lagi dan saya berharap saya dapat meningkatkan fokus dan kemahiran saya dalam taekwondo. “Your spirit is the true shield”.